Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Ia benar, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada menerima takdirnya. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepian tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung yang dalam menghitam. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang hamba Allah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti ayahandanya Syeikh Hasan al-banna , aku juga tidak sehebat saidina Umar Al-khattab yang gagah dalam berbakti, aku bukan sebaik Saidina Abu Bakar as-siddiq yang setia menjadi pengiring Nabi dalam setiap langkah perjuangan berhijrah demi memartabatkan Islam. Aku hanya seorang hamba yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sedutan angin senja ditepian pantai yang mendayu-dayu perlahan sambil melihat burung-burung camar beterbangan pulang ke sarang dan mentari mula terbenam mengganti malam . Ya Rabbi, Sungguh indah ciptaanMu. Dikala itu tiada aku hanya termenung seorang tanpa teman untuk berbicara sebutir kata, hanya minda yang berpaut pada memori silam sebuah episod persahabatan yang sangat manis sehingga aku tersenyum seorang diri mengenang kembali saat kami bersama-sama dalam perjuangan, saat kami jatuh dan bangun bersama dalam kehidupan sehingga kini menjadi gula dalam kenangan.
Tetapi, Sejak dari hari itu tiba-tiba dia tiada lagi dalam hidup ini, khabaran yang dikirim tiada balas, nombor panggilannya tiada lagi dalam perkhidmatan talian. Selepas hari itu dia terus pergi bersama sebuah episod yang lebih bahagia dari sebelumnya, dia pergi dengan sebuah impian yang sudah bersemadi dihatinya sejak dibangku belajar lagi. Walaupun terasa pahit untuk aku mendengarnya kerana aku masih belum puas mengukir sebuah perkongsian ilmu yang sangat bermakna. Dan perasaan diriku yang sudah lama mengimpikan seorang isteri solehah sepertinya kerana sebaik kesenangan itu adalah wanita solehah.
" Enta, ana janji ana tidak akan lupakan enta sampai bila-bila... jangan lost contact ok.
"mestilah , insyaAllah lepas habis belajar ni ana masok minang enti ok?.. hahaha."
" Ish, ke situ pulak , kitakan sahabat sampai bila-bila kan, ana janji kalau ana kahwin nanti ana tak akan lupa enta la.. dont worry, enta pun jangan lupa ana "
" Ye la , ana gurau la tadi.. jangan terasa ek "
Semalam tidak sama dengan hari ini, hari ini kita berjalan kaki mungkin esok kita menunggang kawasaki. Dan semalam kita merancang untuk masa depan tetapi segalanya belum tentu membuah keputusan. Hari demi hari gula-gula persahabatan semakin bercambah dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang thabat dalam dunia dakwah tidak jemu berusrah memantapkan aqidah, ibadah dan sahsiah. Namun, dalam banyak wajah-wajah yang tersenyum wajah dia yang ku lihat begitu muram gelisah seolah ada sesuatu masalah yang disembunyi. Dia yang dahulunya petah berhujah, berjalar memberi pendapat dan idea dan ber'humor' disamping teman-teman sehingga ada yang tidak jemu mendengar setiap bait kata yang diselitkan ayat-ayat yang penuh hikmah.
" erm, enti kenapa semalam nampak muram..?"
" hmm.. tak ada apa . tiada kaitan dengan enta pun, jangan risau... "
" boleh ana tahu apa masalah enti? "
" tak ada apa lah...InsyaAlah, biar ana yang 'settle' sendiri, ana nak mengadu kat Allah, hanya Dia yang boleh bantu ana "
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap persoalan yang singgah. Senyuman di wajahnya tiada terukir lagi malah aku merasakan dirinya semakin jauh tidak seperti biasa. Dia yang dulunya selalu menjawab setiap persoalan yang aku tanya tetapi kini berdiam tanpa bebicara sepatah, dia yang dahulunya suka bergurau senda berkongsi cerita suka dan duka kini semuanya berubah menjadi 'serius' . Aku biarkan semuanya berlalu dengan tidak menggangu dirinya lagi. Mungkin aku yang penyebab segalanya dan mungkin ada sesuatu membuatkan dia bermuram sebegitu.
Fatrah cuti semester bermula, semuanya tidak sabar pulang ke halaman masing-masing untuk bertemu keluarga tercinta. Sudah berbulan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar kini pulang ke pangkuan ibu bapa sebagai jawatan seorang anak secara rasminya. Tiada apa yang dapat aku lakukan di rumah melainkan dengan rutin harianku menghabiskan bahan bacaan sebagai hobi lapangan dan membantu ibu bapa apa yang patut. Selalu diwaktu cuti sering ada pesanan mesej ringkas dari rakan-rakan kampus yang bertanya khabar tetapi semenjak cuti tiada langsung mesej dari dia sahabatku. Sewaktu cuti yang lepas setiap hari ada saja mesej daripadanya yang bertanya dan berkongsi masalah dan cerita, namun kali ini begitu sunyi tanpa berita walaupun aku beberapa kali menghantar mesej bertanyakan khabar tentangnya. Sebagai seorang teman aku sentiasa bersangka baik setiap apa yang berlaku dan kadang-kadang aku juga berasa bersalah mungkin kerana tindakan aku yang menyebabkan hatinya terluka.
Setelah berhari-hari menanti akhirnya tertera suatu pesanan mesej dari insan yang aku tunggu selama ini, katanya yang membuat aku terasa agak terkejut dan terdiam seribu bahasa.
" Wsalam, minta maaf late reply.. sebenarnya ana akan dikhitbahkan tidak lama lagi dengan pilihan Illahi "
Aku yang merasa kehampaan berbaur kedukaan hanya pasrah dengan kata-katanya " Owh ya ka, kenapa tak bagi tahu awal-awal, tahniah sahabat, sudah buat persediaankah ? "
" Erm, Alhamdulilah, semalam ana dengan umi sudah buat tempahan pakaian untuk majlis nanti. "
" Owh elok sangat la tu, warna apa baju tunang enti? " soalan demi soalan aku bertanya untuk melihat kebenaran yang sukar untuk aku terima namun segala jawapannya sudah membuatkan aku redha dengan ketentuan Tuhan.
" Baju ana warna putih cerah.. InsyaAllah"
" Owh , mesti lawa nanti.."
" InsyaAllah, enta jangan risau kita tetap bersahabat, cuma sekarang ana sibuk sikit... "
" Ok.. enti buatlah apa yang patut , ana tak nak ganggu.. As Salam "
"Wsalam.... "
Aku hanya merenung keanehan entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Aku redha dengan segala ketentuan Tuhan setiap apa yang berlaku namun kenapa begitu awal dan tiba-tiba sahaja dia ingin bertunang? katanya ingin habis belajar baru bertunang, mungkin segalanya ketentuan Illahi dan kita hanya mampu merancang. Apa pun aku sentiasa berdoakan kebaikan untuk sahabat dan sahabiah.
Sejak hari itu tiada lagi berita darinya, kadang-kadang aku berasa kerinduan kepada sahabat baik sepertinya. Silap aku kerana selalu bersoal padanya dengan soalan bukan-bukan mungkin membuatkan dirinya tidak selesa. Aku juga merahsiakan persahabatan ini daripada diketahui sahabat yang lain kerana bimbang menjadi bahan fitnah kerana aku tidak mahu segala urusan gerak kerja aku terbantut disebabkan hilangnya thiqah dari sahabat walaupun aku acap kali cuba menjaga dan dia sentiasa memahami. Semoga persahabatan kami selama ini diberkati dan diredhai.
Setelah hampir 2 bulan cuti semester , akhirnya sedar tidak sedar minggu ini minggu terakhir aku bercuti dan segala persiapan untuk kesemester baru sudah lama aku persiapkan, semoga semester baru dapat memberi kenangan yang baru dalam hidupku setelah dia yang mungkin sudah menjadi tunangan orang begitu sukar untuk bersahabat lagi apatah lagi aku seorang lelaki. Namun fikiranku masih tertanya-tanya bilakah dia bertunang? sepatutnya dia mesti memberi tahu aku tarikh pertunangannya. Aku yang masih bersoal seribu pertanyaan cuba bertanya kepada sahabat baiknya tentang tarikh pertunangannya. Nasib aku ada simpanan nombor rakan karibnya yang bernama Hidayah. cuma sebelum ini aku segan untuk memberitahu yang aku ini pernah rapat dengan si dia namun segalanya tiada masalah sebab dia pun bakal bertunang.
" Salam , maaf menggangu ana Ahmad, boleh ana tahu Nurul sudah bertunang ya ?... "
setelah sekian lama menanti akhirnya ada juga balasan " wsalam, oh Ahmad , bertunang?? erm.. sebenarnya Nurul tak jadi bertunang.... "
" Oh ya ka... " hati aku yang kehampaan sebelum ini terubat kembali, rasanya masih ada ruang untuk aku mengimpikan insan sepertinya. Alhamdulillah segala doaku tidak sia-sia dan berasa bersyukur atas anugerah persahabtan ini.
" tetapi Ahmad.... dia sudah dipinang oleh yang lain.. "
" Hah?!.. siapa yang lain itu ? " Aku yang dalam diam gembira kembali pelik seketika seolah merasa kelakar mana mungkin ramai yang ingin meminang dalam masa yang sama .. aduyai. Pelik sungguh dengan berita itu namun aku tetap pasrah dengan apa pun kerana Allah tidak pernah jemu menguji hambanya malah Allah lagi Maha Bijaksana.
" hmmm.. sebenarnya Allah yang meminang dia , Nurul sudah kembali ke rahmatullah seminggu yang lalu kerana penyakit kanser tulang yang semakin teruk, ingatkan encik Ahmad suda tahu. Nurul sudah lama mengidap penyakit itu, doktor cakap dia mungkin hanya mampu bertahan 3 bulan atau kurang sebab penyakitnya terlampau kritikal. ok lah ana nak bergerak balik ke kampus ini.. Salam alaikh "
" innalillahi wainnailaihi rojiun.... ok , wsalam.."
Begitulah, segala impiannya yang ingin mati dijalan Allah akhirnya tercapai. Dia srikandi solehah yang telah dipinang oleh Allah dalam jalan dakwah. Rupanya, disebalik senyumannya sebelum ini terpalit sebuah kesakitan yang amat sangat namun dia tidak pernah memberitahu. Kenapa sahabatku? mungkin dia tahu hajatku yang ingin menyunting dirinya menjadi permaisuri hidup dan mungkin dia tidak mahu aku tahu dan hampa dengan berita buruk itu.
" Enta, hanya Allah tempat kembali masalah , jika kita ditimpa musibah dan diuji dengan dunia ingatlah Allah, mengadulah dan menangislah padaNya , jika kita diuji dengan kehilangan seseorang dalam hidup , mengadulah pada Allah kerana semuanya kembali kepadaNya"
" hmm.. Syukran "
" Enta, ni lagu 'favorite' ana , ana suka dengar lagu ni kalau setiap kali diuji.. "
" oh, SETIAP KALI- Devotees.. hmm, ana tak pernah dengar, tak pa nanti ana dengar kalau 'free' ok"
Setiap kali mendapat nikmat
jarang kusedari itu pemberian-Mu
terkadang rasa itu kerana
segala usaha dan penat lelahku sahaja
setiap kali ditimpa musibah
kumengeluh risau bertambah gelisah
hingga terlupa pada-Mu Allah
tempat kembali segala masalah
Setiap kali mendengar lagu ini , membuatkan aku berasa sedih kerana itulah aku insan yang jarang bersyukur dengan nikmatNya, setiap kali ditimpa musibah aku mengeluh hingga terlupa kepada Allah lah tempat kembali segala masalah.
Namun, setelah kembali ke kampus hidup aku seperti insan biasa, cuma apabila melihat tempat yang dia selalu menghabiskan masa dengan teman-temannya membuatkan aku merenung jauh dan membuatkan aku hampir mengalir air mata kerana Tuhan itu Maha mengetahui dan Dia berkuasa diatas setiap makhlukNya. Tidak sempat untuk aku 'add' dia difacebook mungkin semua sahabat menyatakan status yang sama ' Al- fatihah'. Namun ada satu pesanan darinya di kotak simpanan email.
"Sahabat, lihatlah daun yang menghijau itu, pasti suatu hari ia akan layu dan rapuh menguning lalu jatuh ke lantai bumi, begitulah aku makhluk ciptaanNya yang akan juga pergi, mungkin aku pergi lebih awal sebelummu sahabat, maafkan sekiranya segala hajatmu tidak aku tunaikan, dikau insan soleh yang diciptaan untuk insan solehah. Pasti suatu hari ada hikmah disebalik setiap kejadian dan ujian dari Allah. Ingat pesanku wahai sahabat yang berjuang . Sejauh mana enta terbang ke awan biru, jangan lupa rumput yang hijau dan jangan sesekali tinggal urusan yang penting ini, ayuh teruskan melangkah ke hadapan "
"TIADA KEREHATAN BAGI SEORANG PEJUANG MELAINKAN KEMATIAN' "
- Ariz Ahmad-
( Hanya rekaan semata-mata.. )